KUALA LUMPUR – Tan Sri Khalid Abu Bakar yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun akan terus kekal sebagai satu pasukan dinamik dan progresif.
Bercakap ketika majlis penyerahan tugas Ketua Polis Negara yang baharu kepada Mohamad Fuzi, beliau berharap pasukan keselamatan itu akan terus disanjungi dan dihormati masyarakat.
“Saya yakin barisan kepimpinan yang baru akan terus kekal sebagai pasukan yang dinamik dan progresif, disanjungi dan dihormati untuk melindungi masyarakat dan menjaga kedaulatan negara.
“Saya berharap Ketua Polis Negara yang baharu dapat meneruskan perjuangan saya dan pemimpin terdahulu yang masih belum selesai bagi memartabatkan PDRM dan memacu kejayaan dan kecemerlangan di masa akan datang,” katanya dihadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed.
“Saya telah beri yang terbaik kepada PDRM, sesungguhnya tiada apa yang boleh disifatkan tidak selesai dibawah pentadbiran saya.
“Selagi nyawa dikandung badan saya akan terus berjuang di sisi polis dengan cara saya sendiri,” kata Khalid. -MalaysiaGazette.