PULAU PINANG – Barisan Nasional (BN) negeri menempelak Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan tidak amanah berhubung isu pertikaian bangunan warisan 50 Lebuh Love, Georgetown di sini dengan Majlis Klan Cina Pulau Pinang.
Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, pada 2012, Kerajaan DAP Pulau Pinang meminta Majlis Klan Cina Pulau Pinang membenarkan bangunan tersebut dirampas terlebih dahulu di bawah Kanun Tanah Negara atas kegagalan membayar cukai tanah.
Kemudiannya, ujar beliau, kerajaan negeri berjanji akan memberi dan menukar hak milik serta mengembalikan semula bangunan tersebut kepada Majlis Klan Cina Pulau Pinang.
Katanya, persefahaman itu dibuat untuk mengelakkan prosedur undang-undang yang rumit dalam mengesahkan pemilik waris bangunan tersebut oleh Majlis Klan Cina Pulau Pinang.
“Persefahaman itu dibuat berdasarkan keyakinan sebarang hartanah yang dirampas oleh pihak berkuasa kerajaan negeri adalah menjadi hartanah milik kerajaan negeri dan boleh dipindah milik kepada mana-mana pihak atas permohonan tertakluk di bawah undang-undang tanah sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, ujar Chang Yeow, Kerajaan DAP Pulu Pinang bukan sahaja tidak memberi milik dan mengembalikan bangunan warisan tersebut kepada Majlis Klan Cina Pulau Pinang, malah meminta bukti mereka merupakan pemilik waris bagi bangunan warisan tersebut.
Sedangkan, katanya, perkara itu adalah proses yang cuba dielakkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang pada 2012 kononnya untuk membantu Majlis Klan Cina Pulau Pinang berhubung isu bangunan tersebut.
“Selepas lima tahun, Majlis Klan Cina Pulau Pinang cuba mencari jalan penyelesaian bagi isu ini, tetapi Kerajaan DAP Pulau Pinang bukan sahaja tidak memberi bantuan malah membuat tohmahan terhadap mereka yang dikatakan membuat permintaan yang tidak munasabah,” katanya. – MalaysiaGazette