KUALA LUMPUR – Wisma Putra memanggil Duta Besar Myanmar, U Zaw Myint berhubung keganasan berterusan ke atas etnik Rohingya di Rakhine.
Dalam kenyataannya, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Myanmar tidak berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut meskipun telah berulang kali didesak oleh negara-negara anggota Asean.
“Malaysia sangat bimbang terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya di Rakhine, sebuah negeri di Myanmar.
“Meskipun sudah berulang kali negara-negara anggota Asean mendesak Myanmar mencari jalan penyelesaiannya, Myanmar bagaimanapun tidak menunjukkan kesungguhan untuk melakukannya.
Meskipun kerajaan Myanmar telah memberi jaminan untuk melaksanakan langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut namun dilihat daripada perkembangan terkini yang dilaporkan media, nampaknya tiada atau mungkin terlalu kecil progres yang telah dicapai,” katanya.
Dengan itu menurut Anifah, Malaysia percaya isu kezaliman dan diskriminasi yang dilakukan ke atas etnik Rohingya perlu di bawa ke forum antarabangsa.
Katanya, masyarakat antarabangsa meletakkan harapan tinggi kepada Kaunselor Myanmar, Ang San Suu Kyi berjaya membawa kedamaian dan penyatuan semula rakyat di Myanmar kerana beliau adalah seorang pemenang anugerah Nobel yang kukuh berpegang kepada hak asasi kemanusiaan.
“Malaysia berharap Ang San Suu Kyi boleh memenuhi harapan tersebut dengan segera,” tegasnya.-MalaysiaGazette.