Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir di Mahkamah Rayuan bagi mendengar Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hadir dalam prosiding hari keenam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mempertahankan kenyataan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam bilik prosiding hari ini menegaskan bahawa jumlah kerugian sebenar bank itu adalah hanya RM5.7 bilion.

Ia berdasarkan kepada laporan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ishak Tadin.

“Dia (Anwar Ibrahim) tekankan bahawa kenyataan yang disampaikan kepada (jemaah) kabinet bahawa kehilangan wang sebanyak RM5.7 bilion, yang lain tak termasuk dalam laporan BNM daripada yang telah diaudit.

“Jadi dia bagitau apa yang (dalam) laporan, takkan dia nak soal sangkaan ada orang curi duit ke?

“Apa dia buat kenyataan mengikut apa yang  disahkan oleh audit. Itu sahaja,” katanya di luar lobi Mahkamah Tinggi Putrajaya.

Mahathir sebelum ini hadir buat kali kedua dalam prosiding RCI Forex hari ini bagi mendengar kenyataan daripada Anwar.

Beliau hadir jam 2.20 petang dan keluar dua jam kemudian.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa kepimpinan parti antaranya Naib Presiden, Tian Chua dan Samsul Iskandar Akin.

Anwar adalah individu ke 21 yang dipanggil RCI untuk memberikan keterangan berhubung kerugian BNM yang dilaporkan sebanyak RM31 bilion semasa menjalankan aktiviti urus niaga mata wang asing sekitar 1988-1994.

RCI akan kembali bersidang 18 hingga 20 September depan dan mungkin akan memanggil kembali Anwar serta Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.

Malah menurut sumber, Tun Daim Zainuddin yang menjawat Menteri Kewangan pada 1984 hingga 1991 turut akan dipanggil. -MalaysiaGazette.