pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan
GEORGE TOWN – Enam anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah untuk membebaskan dua individu yang ditahan kerana memiliki air ketum.

Turut ditahan ialah seorang orang awam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata kesemua anggota tersebut bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berusia antara 28 hingga 49 tahun manakala orang awam itu berumur 28 tahun.

Kesemua mereka ditahan di sekitar sini pada pada pukul 2 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, enam anggota itu dipercayai membuat serbuan di sebuah rumah di Paya Terubong dan menahan dua lelaki kerana memiliki empat bungkusan plastik mengandungi air ketum.

“Orang awam itu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kes berkenaan manakala enam anggota polis terbabit bersetuju untuk menerima wang suapan sebanyak RM4,500 daripada seorang rakan kepada dua lelaki yang mereka tangkap dalam kes itu,”kata Roslee ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis memberi kerjasama kepada SPRM dan turut menjalankan siasatan lanjut serta akan mengambil tindakan tegas jika enam anggota polis terbabit didapati bersalah.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban mengesahkan penahanan itu.

— BERNAMA