Ahli-ahli lembaga pengarah FGV termasuk Pemangku Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbon akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga mereka menerima makluman bertulis daripada MoF Inc.

KUALA LUMPUR – Felda Global Holdings Ventures Bhd. (FGV) masih belum dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusinya meskipun dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) tengahari tadi, pelantikan bekas bos Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. itu berkuatkuasa hari ini.

“Ahli-ahli lembaga pengarah FGV ingin memaklumkan bahawa setakat jam 5.30 petang ini, Setiausaha Syarikat masih belum menerima makluman bertulis daripada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) berhubung pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai Pengarah dan Pengerusi Lantikan Kerajaan dalam Ahli Lembaga Pengarah FGV mengikut Artikel 80 Memorandum dan Artikel FGV yang mana Mof Inc. sebagai Pemegang Saham Istimewa mempunyai hak untuk melantik Pengerusi FGV,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia lewat petang tadi.

Dengan itu, ahli-ahli lembaga pengarah FGV termasuk Pemangku Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbon akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga mereka menerima makluman bertulis daripada MoF Inc., kata syarikat perladangan sawit terbesar negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan tengahari tadi mengumumkan dan mengesahkan pelantikan Azhar yang dikatakan mempunyai pengalaman luas dalam bidang korporat sebagai Pengerusi FGV berkuatkuasa hari ini.

Azhar menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Isa Abdul Samad yang meletakkan jawatan pada Jun lalu dan setakat ini, tugas Isa dipangku oleh Tan Sri Sulaiman Mahbob yang juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah FGV.

“Saya yakin dengan pengalaman luas yang dimilikinya, beliau akan dapat menerajui FGV dengan cemerlang sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya dapat diterjemahkan dengan harga sagam FGV yang lebih kukuh,” kata Najib dalam kenyataanya tadi.

Dalam pada itu, menurut sumber, ahli-ahli lembaga pengarah FGV cuba untuk menolak pelantikan Azhar.

“Bagaikan ada perkara yang terselindung. Lembaga pengarah memang terkejut dengan pelantikan tersebut dan cuba untuk menolaknya walaupun perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat lantikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

 

 

1 Komen

Comments are closed.