KUALA LUMPUR – Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah menerbitkan siri ketiga Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM3.5 bilion bagi lima peringkat yang berjulat antara tiga sehingga 30 tahun dengan harga antara 3.95 peratus dan 5.26 peratus setahun sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, LPPSA berkata, Maybank Investment Bank dan RHB Investment Bank dilantik sebagai Pengurus Bersama bagi terbitan kali ketiga ini yang mana ia dilakukan secara penerimaan tempahan persendirian.
IMTN bernilai RM3.5 bilion itu adalah sebahagian daripada program Kertas Komersial Islam berjumlah RM25 bilion yang dijamin kerajaan Malaysia.
CIMB Investment Bank Bhd. dilantik sebagai Ejen Fasiliti manakala RHB Islamic Bank pula merupakan Penasihat Syariah bagi program berkenaan.
IMTN diterbitkan bagi membiayai sebahagian hutang perumahan kepada kakitangan awam. – MalaysiaGazette