Home Utama Malaysia tidak boleh jadi katak bawah tempurung

Malaysia tidak boleh jadi katak bawah tempurung

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh menjadi negara ‘katak bawah tempurung’ dengan tidak mahu berkerjasama dengan dunia luar akibat terpedaya dengan dakyah-dakyah bahawa kemasukan pelaburan asing adalah sama dengan menjual kedaulatan negara.

Perdana Menteri menegaskan, mana-mana pihak tidak boleh menafikan manfaat yang boleh diterima rakyat hasil daripada hubungan baik kerajaan dengan negara-negara luar.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pada suku pertama 2017, Malaysia merekodkan kenaikan 24.3 peratus dalam sektor perdagangan, peningkatan kepada RM430.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada bulan Mac lalu, eksport negara mencecah RM82.63 bilion, angka bulanan tertinggi bagi eksport Malaysia yang pernah dicapai.

“Pencapaian ini bukanlah terjadi sekelip mata. Tetapi ia adalah hasil usaha, kerja keras dan titik peluh kerajaan dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Najib berkata, kedudukan Malaysia dalam ASEAN banyak menguntungkan negara kerana melalui Komuniti Ekonomi ASEAN rakyat mempunyai akses kepada ekonomi bernilai AS$2.55 trilion, dengan populasi lebih daripada 622 juta orang.

Selain itu, Malaysia berpeluang untuk membuat kerjasama strategik dengan rakan-rakan yang mempunyai kepentingan bersama.

“Contohnya, kita telah bersepakat dengan Indonesia dalam meningkatkan kerjasama dalam sektor kelapa sawit khususnya dalam menghadapi kempen anti-sawit oleh Kesatuan Eropah yang memberikan sentimen negatif terhadap negara pengeluar sawit seperti Malaysia dan Indonesia,” katanya menerusi blog beliau.

Selain itu, hubungan baik dengan negara China yang banyak manfaat termasuk membolehkan Malaysia mengeksport sarang burung mentah yang telah memanfaatkan lebih kurang 10,000 petani yang terlibat.

China juga telah menambah pembelian minyak sawit dari Malaysia dan negara telah mencatatkan peningkatan 53.6 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2016.

Kerajaan turut berjaya membuka pintu kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan China melalui pelbagai memorandum persefahaman ditandatangani dengan nilai lebih daripada RM175 bilion hasil lawatan saya pada tahun 2016 dan 2017.

Begitu juga dengan pelaburan India yang menyaksikan banyak syarikat Malaysia aktif membida projek-projek pembangunan selepas enam memorandum persefahaman ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan Malaysia dan pemain industri negara itu.

“Malaysia telah berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM158 bilion semasa lawatan saya pada April lepas,” ujarnya.

Tegas Najib, pendekatan kerajaan mengetengahkan kesederhanaan turut membolehkan Malaysia diterima baik di negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan German yang mana hasil kerjasama dan hubungan baik ini ternyata telah menguntungkan negara.

Perjanjian dengan Aramco membawa jumlah pelaburan sebanyak RM31 bilion dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun telah mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Malaysia telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Jepun dengan dagangan dua hala bernilai RM120 bilion bagi tahun 2016.

Lantaran itu beliau berharap lawatan kerja ke Amerika Syarikat akan berjalan dengan lancar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua buah negara.

“Apa yang disenaraikan hanyalah sebahagian daripada manfaat yang kita terima hasil daripada hubungan baik dengan negara-negara lain.

“Ingatlah kemasukan pelaburan asing banyak membantu pertumbuhan ekonomi kita di sebalik ketidaktentuan ekonomi global. Ternyata ini menunjukkan keyakinan dunia antarabangsa terhadap pentadbiran negara,” ujar Najib.

Najib berkata, sebenarnya, pemimpin-pemimpin pembangkang menyedari kepentingan pelaburan asing untuk kesejahteraan ekonomi, sebab itulah mereka juga giat ke luar negara.

Kalau diikutkan ada pemimpin terdahulu yang kini sering menggunakan retorik ‘jual negara’ tetapi secara realitinya, banyak pinjaman daripada negara luar yang telah dibuat semasa zamannya.

“Adakah ini bermakna kita telah menjual kedaulatan negara apabila menerima pinjaman pembangunan daripada Jepun sebanyak 61.5 bilion yen untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1994? Tidak sama sekali!

“Oleh itu, saya harap masyarakat kita tidak termakan dengan politik kotor yang tidak objektif dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Ini hanya akan merugikan kita,” katanya.

Najib bertekad lebih komited untuk terus membina hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan negara luar dalam membawa harapan serta kepentingan rakyat Malaysia di mata dunia. – MalaysiaGazette