NEW YORK – Harga minyak merosot pada hari Jumaat apabila harga minyak mentah Amerika Syarikat jatuh lebih daripada 3.0 peratus berikutan kebimbangan perdagangan dan permintaan tenaga di Florida dan Tenggara akan terjejas teruk kerana Taufan Irma.
Taufan Irma, ribut kuat yang kedua melanda Amerika Syarikat dalam masa dua minggu telah meragut 14 nyawa dan memusnahkan pulau-pulau di Caribbean.
Terdahulu, Taufan Harvey yang melanda teluk Amerika Syarikat telah mengakibatkan penutupan satu per empat kilang penapis dan 8.0 peratus daripada pengeluaran minyak Amerika Syarikat.
Ia akan mengambil masa beberapa minggu bagi industri petroleum Amerika Syarikat untuk kembali kepada kapasiti penuh, kata penganalisis.
Dalam kes Taufan Irma, penganalisis lebih bimbang akan kehancuran yang bakal ditimbulkan oleh ribut hingga menyebabkan pengurangan permintaan tenaga.
Minyak mentah Ameerika Syarikat turun sebanyak AS$1.53 atau 3.12 peratus kepada AS$47.56 setong pada 1:47 pagi EDT (1747 GMT).
Minyak mentah Brent juga susut AS$0.67 atau 1.2 peratus kepada AS$53.82 setong setelah mencapai mencapai paras tertinggi sejak April pada AS$54.80 semalam.
Kedua-dua tanda aras kekal pada landasan untuk mencapai sedikit keuntungan mingguan.
“Beberapa kejadian taufan yang melanda telah memberi kesan kepada permintaan dalam penapisan dan industri,” kata Eugen Weinberg, ketua komoditi di Commerzbank di Frankfurt.
Pengeluaran minyak Amerika Syarikat susut hampir 8.0 peratus disebabkan Taufan Harvey – dari 9.5 juta tong sehari kepada 8.8 juta tong sehari, menurut Agensi Maklumat Tenaga (EIA).
Tetapi Taufan Irma tidak melanda di kawasan-kawasan pengeluaran minyak di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette