Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad kelihatan tersenyum ceria ketika keluar ke lobi Menara Felda selepas menghadiri proses siasatan dalam berhubung kemelut urus tadbir FGV. foto SAFWAN MANSOR, 11 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Hari yang mendebarkan untuk Datuk Zakaria Arshad masih belum berakhir.

Meskipun panel siasatan dalaman (DI) telah selesai menjalankan tugas mereka dan ahli-ahli lembaga pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sudah bermesyuarat kira-kira dua jam petang semalam, nasib Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perladangan terbesar Malaysia itu masih belum ditentukan.

Mesyuarat yang diketuai Pengerusi baharu FGV, Datuk Azhar Abd. Hamid itu adalah untuk menentukan sama ada Zakaria bersalah atau tidak dan tindakan lanjut yang perlu diambil ke atas beliau berdasarkan laporan siasatan yang telah dijalankan oleh panel DI.

Bagaimanapun, tugas Azhar tidak tamat di situ sahaja kerana beliau perlu mengadap ‘big boss’ FGV iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan 1 yang ketika ini sedang berada di Amerika Syarikat untuk urusan rasmi.

“Mengikut akta syarikat, Kementerian Kewangan selaku pemegang saham istimewa mempunyai hak untuk menentukan perkara ini.

“Selepas membuat keputusan semalam, ahli-ahli lembaga pengarah perlu memaklum dan memberi nasihat kepada Perdana Menteri mengenai tindakan sesuai yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu yang melanda Zakaria dan tiga lagi pegawai kanan FGV.

“Ahli lembaga pengarah tidak boleh mengambil tindakan bersendirian, semuanya perlu mendapat restu Perdana Menteri,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Zakaria memberitahu media, beliau redha dengan apa pun keputusan yang akan dibuat oleh orang atasannya.

Meskipun berharap kemenangan berpihak kepada beliau, Zakaria bersedia menerima sebarang kemungkinan.

FGV pula terus mendapat perhatian pasaran pelantikan Azhar sebagai pengerusi baharu menggantikan Tan Sri Isa Samad yang meletakkan jawatan Jun lalu.

Tugas Isa dipangku sementara oleh Tan Sri Sulaiman Mahbob sehingga Perdana Menteri membuat pengumuman rasmi pelantikan Azhar yang sekali gus menamatkan teka-teki siapakah yang duduk di kerusi pengerusi di syarikat yang sedang dilanda kontroversi itu.

Azhar seorang tokoh korporat sejati diterima pasaran sebagai individu paling layak untuk memimpin FGV, tambahan beliau telah berjanji untuk menyelesaikan krisis kepimpinan di syarikat peladangan kelapa sawit terbesar sebagai perkara pertama yang akan dilakukannya selepas dilantik sebagai pengerusi. – MalaysiaGazette