SPRM menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas empat individu termasuk seorang ketua eksekutif bergelar ‘Datuk’ yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu berkaitan kes penyelewengan dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta.

Perintah tahanan reman enam hari bermula hari ini hingga 19 Sept itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman.

Keempat-empat mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada kira-kira 10.35 pagi sebelum dibawa keluar lebih sejam kemudian selepas prosiding selesai.

Semalam media melaporkan SPRM menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Menurut laporan itu, ketua eksekutif bergelar Datuk berusia 58 tahun itu ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan, 34, penolong pegawai kewangan, 32 dan seorang pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor, 38 di beberapa lokasi di ibu negara dalam satu operasi khas SPRM petang Rabu.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membebaskan dua individu yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) untukl satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Dua individu yang dibebaskan ialah seorang bekas eksekutif lelaki syarikat cari gali minyak berusia 40 tahun yang kini bergelar ahli perniagaan dan suami kepada pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang berumur 53 tahun dan bekerja sendiri. Syarikat kontraktor terbabit dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek berkenaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka direman berhubung siasatan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor berkenaan antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat itu.

— BERNAMA