Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor yang terbakar awal pagi tadi. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan segera pasukan khas bagi menyiasat insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Dalam sidang media di Hospital Kuala Lumpur hari ini, beliau sendiri menawarkan diri untuk mengetuai pasukan khas itu.

Penubuhan pasukan khas itu juga akan ditubuhkan segera tanpa perlu menunggu mesyuarata Kabinet yang akan diadakan Selasa depan berikutan tragedi korban tersebut merupakan suatu perkara serius.

“Yang penting di sini, pengajaran mahal yang kita dapat dari insiden ini, memberikan iktibar bahawa apabila dasar pengurusan dan pentadbiran yang dikemukakan oleh kerajaan supaya mematuhi piawaian yang ditentukan oleh penguatkuasa.

“Dasar ini bukan untuk menyusahkan tapi sebagai pencegahan. Kita akan tubuhkan pasukan khas segera untuk siasat berkenaan keselamatan, tidak perlu menunggu mesyuarat Kabinet.

“Kita tidak mahu insiden sebegini berlaku di pusat pengajaran tahfiz lain dan saya sendiri akan mempengerusikan sendiri task force itu.”

Terdahulu, Zahid turut mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa dalam proses pengendalian jenazah sehingga selesai.

Tambahnya, pihak kerajaan juga menyediakan rawatan psikologi terhadap keluarga mangsa yang meninggal dunia dan mangsa-mangsa kebakaran yang selamat bagi merawat trauma, kesan insiden tersebut. – MalaysiaGazette