Home Ekonomi AirAsia lancar penerbangan ke Nha Trang

AirAsia lancar penerbangan ke Nha Trang

KUALA LUMPUR – AirAsia Berhad meluaskan rangkaian penerbangannya ke Nha Trang, Vietnam yang beroperasi setiap hari terus dari Kuala Lumpur.

Penerbangan pertama ini juga mencipta sejarah bagi syarikat penerbangan itu kerana AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama yang mengendalikan penerbangan terus ke Nha Trang dari Malaysia.

Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, Nha Trang adalah tambahan hebat kepada rangkaian AirAsia dan ia berpotensi untuk menjadi destinasi popular.

Dengan peluasan itu, AirAsia telah meningkatkan laluan Fly-Thru bagi memberi manfaat kepada pelancong dari rantau ini dan lain-lain untuk melawat bandar ini.

“AirAsia berharap rakyat dari Wilayah Khánh Hoa akan mengambil kesempatan ini untuk melawat Malaysia, ASEAN dan serata dunia melalui rangkaian AirAsia yang meliputi lebih 120 destinasi di 27 negara,” tambah beliau.

Pelanggan AirAsia boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan sambungan Fly-Thru, yang mana bagasi berdaftar mereka akan dihantar terus ke destinasi terakhir tanpa perlu melalui pelepasan imigresen di hab transit.

Melalui perkhidmatan tambahan ini, pelanggan AirAsia kini boleh melawat Nha Trang dari lapan negara serta 23 bandar termasuklah Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Singapura, Jakarta, Bali, Bandung, Surabaya, Guangzhou, Shenzhen, Chengdu, Changsha, Xi’an, Wuhan, Melbourne, Gold Coast, Sydney, Perth, Maldives, Colombo, dan Tiruchirappalli.

AirAsia juga menghubungkan para tetamu ke bandar-bandar lain di Vietnam termasuklah Ho Chi Minh City dengan 42 kali penerbangan seminggu, Da Nang dengan 10 kali penerbangan seminggu, dan Hanoi dengan 11 kali penerbangan seminggu. – MalaysiaGazette