Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir melihat tempat kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Perkarangan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi tumpuan orang ramai hari ini setelah jalan di hadapan premis itu mula dibuka hari ini.

Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat mula membanjiri kawasan tersebut bagi melihat keadaan semasa bangunan tersebut.

Aminah Mohd Ali, 55, yang menetap di Setiawangsa ketika ditemui berkata, beliau hadir di lokasi kejadian hari ini untuk berkongsi rasa sedih yang dialami keluarga-keluarga mangsa.

“Kalau ikutkan hati, masa kejadian tu lagi saya nak datang sini, tapi tak cukup kuat. Sedih sangat. Saya hanya mampu datang hari ini.

“Sampai saja pagi tadi, luluh hati saya tengok keadaan bangunan tu, saya terbayang gambar, video yang tersebar kelmarin,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, orang ramai yang datang juga berharap kejadian seperti ini dapat dielak daripada berulang pada masa akan datang.

Faridah Jaya, 56, yang datang dari Cheras berkata, meskipun mangsa yang meninggal dunia mendapat syahid namun, aspek keselamatan perlu diutamakan oleh pengusaha-pengusaha sekolah tahfiz atau pondok.

Ia bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Orang Cina, India, semua percaya mereka (mangsa) meninggal dalam keadaan baik(syahid), apa lagi kita(Islam). Tapi pengurusan tetap kena bertanggungjawab.

“Keselamatan ni jangan dipandang mudah. Saya tahu, sekolah ni baik, sebab tu saya datang dari pagi tadi ke sini, tapi kalau jadi kes macam ni, kenalah bertanggungjawab.

“Semua pihak terlibat kena bertanggungjawab,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati orang ramai sehingga kini masih tidak berhenti meluangkan masa untuk melihat kesan tragedi pusat tahfiz berkenaan.-MalaysiaGazette