Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dan mengorbankan 23 pelajar di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan pusat-pusat tahfiz di negara ini mempunyai infrastruktur dan kemudahan asas berkaitan keselamatan, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi semua sekolah aliran berkenaan.

Pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setelah mengadakan lawatan ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar Khamis lalu sehingga mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru.

Peruntukan itu, kata Najib adalah bagi menambah baik infrastruktur serta prasarana maahad tahfiz sedia ada dan sekali gus menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak membantu sekolah agama swasta itu.

“Untuk pertama kali kerajaan luluskan peruntukan RM30 juta kepada semua tahfiz swasta untuk tambah baik infrastruktur maahad tahfiz mereka.

“Ini menyangkal dakwaan yang kerajaan tak tolong pembinaan dan perjalanan tahfiz di negara ini,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kejadian terbabit.

Ia berikutan kenyataan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, yang berkata hasil siasatan pihaknya mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas. -MalaysiaGazette.