Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod bercakap pada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmud menggesa orang ramai menghentikan tuduhan buruk terhadap institusi tahfiz susulan insiden kebakaran sekolah yang dikendalikannya sehingga mengorbankan 23 nyawa.

Muhammad Zahid meluahkan rasa bersyukur dengan kejayaan pihak polis menangkap semua tujuh suspek yang membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan berharap mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

“Saya harap sehingga kita tahu aktiviti mereka yang bertanggungjawab benar-benar bersalah dibawa ke muka pengadilan.

“Harapan kami masyarakat jangan mudah menuduh kepada institusi tahfiz kononnya banyak kesalahan, kekurangan dan sebagainya,” kata beliau semasa ditemui media hari ini di pusat tahfiz itu.

Selepas insiden kebakaran Khamis pagi lalu, banyak pihak mempersoalkan isu keselamatan di pusat-pusat tahfiz seluruh negara yang tidak memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.

Menurut Muhammad Zahid lagi, tuduhan liar dan tidak berasas terhadap pusat tahfiz tidak wajar kerana siasatan masih berjalan.

“Kita tunggu hasil siasatan pihak berwajib supaya keputusan itu telus dan benar,” katanya.

Mengenai timbul perselisihan faham antara pelajar tahfiz dengan orang luar, Muhammad Zahid menyifatkannya sebagai pergaduhan biasa memandangkan ia lumrah di zaman kanak-kanak dan tidak menyangka akan menjadi besar sehingga berlaku kematian.

“Ejek mengejek saya beranggapan sebagai kanak-kanak kita pun juga merasainya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

“Saya tak beranggapan benda itu akan jadi benda besar sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia dan kerajaan yang banyak membantu dan memberi sokongan moral kepada mereka sepanjang menguruskan insiden kebakaran.

Dalam tragedi pagi Khamis itu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta. – MalaysiaGazette