Mahdzir Khalid.
Mahdzir Khalid.
KUALA LUMPUR – Enam remaja yang disyaki menyebabkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dibuang sekolah sebelum ini kerana masalah disiplin termasuk ponteng.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka didapati tidak hadir ke sekolah sejak 2012 hingga tahun lalu.

“Ada suspek tidak pernah ke sekolah dalam tempoh lama, bermula pada tahun 2012 sehingga 2016.

“Ada suspek yang berumur 16 tahun, pernah belajar di Tingkatan Satu pada 2012, tetapi tidak lagi ke sekolah selepas itu.

“Suspek berumur 18 tahun menghabiskan sesi persekolahannya dan kemudian sambung belajar di GiatMARA,” katanya

“Dan, selepas itu mereka tidak lagi hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah telah mengambil pelbagai tindakan seperti mengeluarkan surat amaran serta berjumpa ibu bapa mereka bagi membincangkan masalah anak masing-masing sebelum tindakan buang sekolah diambil.

“Namun remaja yang berumur 18 tahun sempat menghabiskan sesi persekolahannya dan menyambung pelajaran di sebuah institut latihan kemahiran,” katanya.

Kebakaran asrama pusat tahfiz itu pada Khamis lepas menyebabkan 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden terkorban. – MalaysiaGazette