Home Utama Kesemua suspek bakar tahfiz tak boleh dihukum mati – Azalina

Kesemua suspek bakar tahfiz tak boleh dihukum mati – Azalina

KUALA LUMPUR – Ketujuh-tujuh suspek yang terlibat dalam kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di sini tidak boleh dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana masih di bawah umur.

Ini kerana, Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjelaskan, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada pesalah kanak-kanak dibawah umur 18 tahun meskipun ketika itu kesemua suspek masih ditahan reman dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Bagaimanapun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain itu,
pesalah juga boleh dikenakam hukuman seperti yang termaktub dibawah Seksyen 91 (1).

Manakala Seksyen 94 Akta yang sama, memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintah supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Azalina berkata, insiden itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak khususnya ibu bapa dalam membendung kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak.

Justeru, beliau meminta semua pihak perlu berhenti membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Saya percaya kes ini akan diadili sebaik mungkin setelah dibawa ke mahkamah nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.