KUALA LUMPUR – Raja pecut negara para acara 100 meter, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul semula di trek dengan membuktikan kehebatannya apabila mudah memenangi saingan akhir 200 meter T36 (cerebral palsy) di Sukan Para ASEAN Ke-9, hari ini.
Sebelum ini, Mohamad Ridzuan atau Dek Wan yang merupakan pemenang emas Paralimpik Rio disahkan tidak akan menyertai mana-mana acara kerana disyaki mengalami demam denggi, sejak Khamis lalu.
Pengurus pasukan olahraga Narrawi Abdullah terpaksa mengambil keputusan itu selepas mendapatkan nasihat doktor Hospital Putrajaya dan Institut Sukan Negara (ISN).
Sementara itu, Mohamad Ridzuan memenangi saingan akhir tersebut dengan catatan 26.03 saat.
Pingat perak milik atlet dari Indonesia, Muhamad Agung Laksana dengan catatan 26.20s manakala gangsa dimenangi Mohd. Rezza Md. Rashid dari Malaysia dengan catatan 29.69s. – MalaysiaGazette