Home Ekonomi Ahmad Hizzad kembali semula ke BNM

Ahmad Hizzad kembali semula ke BNM

KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin akan berkhidmat semula di Bank Negara Malaysia selepas tamat tempoh beliau dipinjamkan ke Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan selama enam tahun sebagai Ketua Pengarah.

Berkuat kuasa 3 Oktober ini, Ahmad Hizzad akan menjadi Penolong Gabenor yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang.

Beliau juga akan menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama-sama dengan Penolong Gabenor, Norzila Abdul Aziz.

Sebelum beliau dipinjamkan untuk berkhidmat di Labuan FSA, Ahmad Hizzad merupakan pengarah di beberapa jabatan di bank pusat itu, termasuk Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful.

Ahmad Hizzad memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan daripada Eastern Illinois University, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Saint Louis University, Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette