Seorang individu dipercayai salah seorang suspek yang terlibat kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat dibawa oleh anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ke tepi tasik di belakang pusat tahfiz tersebut bagi membantu mendapatkan bahan bukti. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017

KERAMAT – Dua individu dipercayai suspek dibawa ke tasik terletak di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bagi membantu pihak polis mencari barang bukti yang digunakan untuk membakar pusat tahfiz tersebut.

Kedua-dua suspek masing-masing memakai baju putih dan hitam dengan wajah bertutup topeng muka dibawa beberapa anggota polis ke belakang tasik tersebut untuk menunjukkan lokasi barang bukti yang dicampakkan mereka selepas membakar pusat tahfiz itu.

Empat anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 2 dilihat menyelam di belakang tasik pusat tahfiz sekitar jam 11 pagi bagi mencari barang bukti sambil dibantu oleh beberapa anggota lain.

Seorang anggota Pasukan Penyelam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat masuk menyelam ke dalam Tasik Taman Reakreasi Padang Balak yang terletak di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat bagi mencari bahan bukti berkaitan kes kebakaran pusat tahfiz tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017..

Sebilah pisau ditemui oleh pasukan penyelam di dalam tasik tersebut.

Polis menutup kawasan masuk ke taman rekreasi Padang Balak bagi orang awam awal pagi tadi.

Antara lokasi utama yang ditutup daripada akses orang ramai ialah Pusat Darul Quran Ittifaqiyah, Madrasah Ittifaqiyah, Taman Tasik Datuk Keramat dan premis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Tiga anggota Pasukan Penyelam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat masuk menyelam ke dalam Tasik Taman Reakreasi Padang Balak yang terletak di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat bagi mencari bahan bukti berkaitan kes kebakaran pusat tahfiz tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017

Polis sudah mengesahkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi 14 September llalu berpunca daripada tindakan khianat susulan tangkapan ketujuh-tujuh suspek.

Ketujuh-tujuh yang ditangkap telah dibawa ke mahkamah dan direman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 September.

Hasil ujian air kencing menunjukkan enam daripada suspek positif ganja dan dipercayai khayal semasa melakukan perbuatan tersebut. – MalaysiaGazette