Rais Yatim

KUALA LUMPUR- Pesta bir dan pesta gay tidak sesuai diadakan di negara ini dan penganjurannya perlu mengambil kira sensitviti masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, Penasihat Sosio-budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim tidak menganggap pesta bir sebagai mengancam budaya tempatan kerana pengisian pesta itu tidak didedahkan.

Rais Yatim (tiga kiri) mendengar penerangan dari Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San (tiga kanan) mengenai buku Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin dan buku Kesejahteraan Hidup Yang Abadi sambil temani Pro Canselor Universiti Terbuka Wawasan, Tan Sri Koh Tsu Koon (kiri) dan Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (dua kiri) dan penulis buku, Cao Guobing (kanan) di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 SEPTEMBER 2017

“Saya tidak sifatkan ianya mengancam budaya tetapi tidak sesuai dengan cara hidup di Kuala Lumpur kerana ia tidak mengandungi bibit budaya.

“Sensitiviti masyarakat juga harus diambil kira sebelum diadakan sesuatu pesta,” ujar Rais yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mengenai pesta gay pula Rais berpendapat gejala gay di Malaysia bukan isu baru, namun isu semakin lantang diperkatakan sejak akhir-akhir ini dengan alasan hak asasi.

“Orang Malaysia sebenarnya walaupun ada kumpulan yang homoseksual dulu tidak merupakan satu masalah tapi sekarang kononnya bersekali dengan hak asasi manusia.

“Saya tak fikir ini hak asasi manusia sebab ini minoriti dan ia akan merosakkan moral generasi baru dan moral keseluruhan tanah air kita.

“Tak sesuai dengan majoriti penduduk negara kita, agama kita. Ini tak boleh diterima, tak payah pun berdebat,” ujarnya selepas diskusi dan pelancaran Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin dan Kesejahteraan Hidup Yang Abadi di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Buku Kesejahteraan Hidup Yang Abadi merupakan karya penulis China, Cao Guobing.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar merupakan penterjemah bahasa Melayu untuk buku ini.

Buku ini merupakan karya pembinaan kehidupan yang positif.- Malaysia Gazette

Comments are closed.