Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – MyHSR Corporation Sdn. Bhd. dan Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah melantik syarikat-syarikat prasarana (InfraCos) untuk membina, membiayai dan menyelenggara infrastruktur awam.

Ia juga bagi mengendalikan stesen-stesen Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR) yang berada di kawasan masing-masing.

Dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini, MyHSR dan LTA berkata, InfraCos akan membuat pembayaran kepada syarikat aset (AssetsCo) yang merangkumi perbelanjaan modal, kos operasi, penyelenggaraan dan pembaharuan aset HSR termasuk koc dan peralatan di depot dan kemudahan penyimpanan.

“Ini bagi membolehkan AssetsCo memastikan aset HSR tersedia kepada syarikat pengendali untuk mengendalikan perkhidmatan ekspress, domestik dan shuttle,” katanya.

AssetCo adalah sebuah syarikat swasta yang bertanggung jawab untuk mereka, membangunkan, membiayai, mengendali dan menyelenggara kesemua koc dan aset rel.

Menurut MyHSR dan LTA, syarikat pengendali perlu membayar AssetCo yuran pajakan tren yang merangkumi kos berkaitan tren serta operasi, penyelenggaraan dan pembaharuan peralatan di depot dan kemudahan penyimpanan.

Sebagai balasan, AssetCo akan memastikan terdapat tren disediakan kepada syarikat pengendali antarabangsa untuk mengendalikan perkhidmatan ekspres dan shuttle manakala syarikat pengendali tempatan mengendalikan perkhidmatan domestik.

Katanya, AssetCo akan didapatkan oleh InfraCo Malaysia dan Singapura menerusi cara terbuka, adil dan telus sambil menambah tender akan dibuka menjelang hujung tahun ini dan dinilai berdasarkan kualiti kertas cadangan.

Keputusan diumumkan semasa taklimat industri kedua pada 26 September lalu yang mana ia menyediakan maklumat dan butiran terperinci mengenai tender AssetCo.-BERNAMA