KUALA LUMPUR – Kaum bumiputera perlu mencari peluang untuk memiliki hartanah di kawasan bandar-bandar besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kaum bumiputera tidak seharusnya hanya bertumpu kepada kawasan luar bandar sahaja.

Katanya, kerajaan menerusi Pelaburan Hartanah Bhd. dan produknya, Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) diwujudkan bagi mengukuhkan lagi penyertaan kaum bumiputera dalam bidang hartanah terutama hartanah komersial sekali gus menjana kekayaan dalam sektor tersebut.

“Tujuan AHB diwujudkan adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat bumiputera supaya dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersil di Malaysia melalui pegangan unit yang disediakan oleh AHB.

“Ini semestinya membuka peluang kepada masyarakat bumiputera untuk berkongsi pemilikan ke atas aset-aset ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan bumiputera dalam sektor hartanah komersil ini,” katanya semasa berucap melancarkan 500 juta unit tambahan AHB di sini hari ini.

Tambah Najib, sejak ditubuhkan enam tahun lalu, PHB melalui skim AHB telah berjaya menarik golongan bumiputera melabur dalam unit amanah berlandaskan hartanah.

Ini dapat dilihat melalui permintaan orang ramai untuk melanggan unit-unit AHB yang tidak pernah surut semenjak pelancarannya.

“Enam tahun yang lepas iaitu pada tahun 2010, saya sendiri telah merasmikan dana asal AHB sebanyak 1 bilion unit.

“Beberapa tahun kemudian, saiz tersebut telah ditingkatkan sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2013 lalu mejadikan jumlah keseluruhan dana AHB pada masa itu sebanyak dua bilion unit.

“Tahun lepas pula, sebanyak 1.5 bilion unit lagi dilancarkan. Malah, saya difahamkan unit-unit ini telah habis dilanggan dalam tempoh kurang daripada setahun,” katanya lagi.

Menurut Najib, beliau menyokong penuh usaha PHB dalam membeli atau memajukan pelbagai hartanah di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia.

Pada tahun ini sahaja, PHB telah memulakan beberapa projek pembangunan baru iaitu pembangunan pusat membeli-belah Mayang Mall di Terengganu, Hospital Pakar KPJ Damansara, bangunan pejabat di Jalan Bangsar dan Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Pengurus dana itu juga telah berjaya menembusi pasaran hartanah di Lembah Klang dan negeri-negeri di bahagianUtara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung dengan aset terkumpul PHB bernilai lebih RM9.4 bilion.- MalaysiaGazette