KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada asas tahun ke tahun meningkat 6.7 peratus pada bulan Ogos 2017, 0.4 mata lebih rendah berbanding 7.1 peratus pada Julai 2017.
Antara sektor yang mencatatkan peningkatan ketara dalam tempoh ini adalah perlombongan (+17.6%), pembuatan (+6.3%), pertanian, perhutanan dan perikanan (+3.2%), bekalan elektrik dan gas (+1.7%) dan bekalan air (+0.8%).
Perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan naik 0.8 peratus pada Ogos 2017,setelah turun selama lima bulan berturut-turut.
Kenaikan indeks ini disebabkan oleh peningkatan dalam semua sektor pada bulan rujukan ini iaitu, perlombongan (+2.2%), pertanian, perhutanan dan perikanan (+1.3%), bekalan air (+0.8%), pembuatan (+0.6%) dan bekalan elektrik dan gas (+0.3%).
Jabatan Perangkaan berkata, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan naik 0.8 peratus pada bulan Ogos 2017, setelah turun 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan dalam indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+2.8%), indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+0.5%) dan indeks barang siap kekal tidak berubah.
Berbanding bulan yang sama setahun lalu, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan pada Ogos 2017 naik 6.7 peratus.
Kenaikan ini didorong oleh kenaikan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+11.2%), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+7.7%) dan barang siap (+1.1%). – MalaysiaGazette