Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Pingat Hang Tuah kepada pemenang, Mohamad Farid Iskandar Mohd Zulkarnain (tengah) sambil diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (kiri) pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 0KTOBER 2017

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menyampaikan Anugerah Pingat Hang Tuah, kepada bekas pelajar pusat tahfiz al-Quran Wartabiyatul Islamiah, Baling, Kedah yang terbakar pada 6 Ogos 2017 lalu.

Mohamad Farid Iskandar Mohd. Zulkarnain yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu menerima trifi, sijil dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Zahid pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP).

“Masa tu saya fikir kawan-kawan, api. Saya sudah tidur masa tu, tapi terjaga sebab api. Mula-mula sekali saya dah tidur, tapi ada bunyi bising dekat atas, saya nampak ada api.

“Saya kejutkan kawan-kawan yang tengah tidur. Kami ambil tilam dan air di baldi untuk padamkan api, tapi tak berjaya padam mulanya, lepas tu kami lari pergi selamatkan diri tempat selamat sampailah bomba datang. Saya selamatkan enam orang kawan saya waktu kejadian tu,” katanya kepada MalaysiaGazette menceritakan kembali detik-detik cemas ketika kejadian tersebut.

Kebakaran yang berlaku di Maahad tahfiz al Quran Wartabiyatul Islamiah kira-kira jam 1.50 pagi pada 6 ogos 2017 lalu, memusnahkan keseluruhan premis berkenaan.

Ibu kepada wira cilik tersebut, Murni Hayati Abdul Ghani, 31, ketika ditemui turut berkongsi rasa syukur dan penghargaan yang diberikan kepada anaknya.

Beliau yang tidak menyangka keberanian yang ada pada Farid, bangga dengan tindakan bernai yang ditunjukkan anak tersebut dan berharap agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat di luar.

“Bila dapat tahu masa kejadian tu, saya bersyukur sangat apabila dimaklumkan dia ni selamat, yang lain semua pun selamat. Saya tak sangka juga anak saya jadi penyelamat masa kejadian, bangga dengan keberanian dia,” katanya ketika ditemui.

Anugerah Pingat Hang Tuah telah diperkenalkan semula pada tahun 1960 yang diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka menyelamatkan nyawa atau harta benda dalam sesuatu bencana atau malapetaka.

Mereka yang dicalonkan anugerah itu juga tidak boleh memiliki rekod jenayah juvana atau pernah terbabit dalam sebarang kes akhlak atau moral. -MalaysiaGazette