Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub. foto FAREEZ FADZIL, 3 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) hari ini menolak cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mahu kerajaan menubuhkan Jabatan Integritii dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Menurut Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu tunduk kepada badan pantauan kerana SPRM adalah badan siasatan yang perlu bebas daripada sebarang kaitan politik.

“Kita kalau tepuk kepala kucing untuk dia tidak gigit kita. Jangan buat begitu kepada SPRM.

“Datuk Seri Najib jangan buat SPRM macam kucing, tepuk kepala agar taring tidak keluar. Cadangan Datuk Paul Low bimbangkan rakyat kerana ada badan untuk pantau SPRM,” katanya dalam sidang media hari ini.

Paul Low sebelum ini mencadangkan penubuhan JITN sebagai salah satu usaha menerajui transformasi bagi membina kapasiti institusi, terutama dalam kalangan penjawat awam.

Namun cadangan itu ditolak bulat-bulat oleh SPRM.

Ketua Pesuruhajayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penubuhan jabatan baharu itu boleh mengganggu kebebasan SPRM dalam menjalankan kerja-kerja membasmi rasuah serta salah guna kuasa.

Malah, menurut beliau, penubuhan JITN juga tidak selari dengan dasar kerajaan dan rakyat yang mahu melihat SPRM menjalankan tugas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Pada masa sama, beliau bimbang wujud persoalan seolah-olah SPRM akan `dikawal’ dalam melaksanakan tugas menerusi penubuhan JITN tersebut.

Justeru menurut Salahuddin, Pakatan Harapan akan terus memberi tekanan kepada kerajaan sekiranya langkah penubuhan JITN itu diteruskan.

“Kita mahu perjuangkan habis-habisan supaya SPRM duduk di bawah Parlimen bukan jadi badan pengawal kepada SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette.