Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Rafidah Mohd Ariffin (kiri) dan Prof Dr Sivamurugan Pandian mendengar penjelasan Ahli Parlimen Sungai Besar, Yb Budiman Mohd Zohdi (tengah) pada program Dialog 'Anak Muda Makin Parah, Malaysiaku Kemana Arah?' di Banglo GPMS, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Bajet yang terlalu kecil untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menimbulkan persoalan kemampuan agensi tersebut untuk menjalankan tugasan pencegahan dengan efektif pada ketika jumlah penagih dadah meningkat saban tahun.

Daripada statistik terbaharu AADK, setiap tahun jumlah penagih dadah baharu adalah 22,923 orang dan jumlah itu tidak termasuk jumlah penagih dadah berulang 7,921 orang.

Penagih dadah ini terdiri daripada mereka yang berumur bawah 40 tahun yang mana majoritinya adalah pelajar sekolah.

“Yang pulih tidak ramai pun, yang berulang (hisap dadah) pun sudah ramai,” kata Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Rafidah Mohd Ariffin semasa ‘Dialog Anak Muda makin Parah. Malaysiaku Ke Mana Arah’ semalam.

Rafidah mendedahkan bajet AADK di Bahagian Pencegahan hanya RM6 juta setiap tahun, jumlah yang sangat kecil dan tidak mencukupi, tegas beliau.

“Masalah utama adalah bajet, sepatutnya agensi dadah ini bajet dia kena tiada had atau bajetnya kena beri keutamaan yang mana bajet AADK Bahagian Pencegahan hanya RM6 juta sahaja,” kata Rafidah.

Rafidah bagaimanapun tidak menyalahkan AADK kerana mereka sudah melakukan sedaya yang mampu dengan bajet yang terhad menjalankan program pencegahan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang juga dijemput sebagai panel dialog memberi jaminan untuk membawa isu bajet AADK dalam sidang Parlimen nanti.

“Saya rasa tidak ada masalah,” kata Budiman selepas dicabar Rafidah untuk membangkitkan isu bajet AADK di Parlimen.

Isu penagihan dadah dalam kalangan anak muda diperkatakan semula selepas insiden kebakaran pusat tahfiz di Keramat baru-baru ini dengan tertangkapnya tujuh suspek yang mengambil dadah sehingga melakukan tindakan luar batasan.

Bagi Prof Dr Sivamurugan Pandian, tanggungjawab tidak boleh diletak semata-mata atas bahu pihak berwajib untuk mencegah penagihan dadah, sebaliknya institusi sekolah juga perlu memainkan peranan yang aktif dalam menerangkan tentang bahaya dadah ini.

“Kita melihat kepada sekolah kerana 13 jam kita berada di sekolah, bersama rakan sebaya dan guru

“Jadi sistem sokongan di sekolah itu sangat besar, 13 jam di sekolah, masa yang cukup panjang di sekolah maknanya rakan sebaya mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi,” kata beliau yang juga Setiausaha Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara (MPN).

Sivamurugan berkata, mustahil untuk Malaysia membasmi masalah dadah sepenuhnya kerana faktor geografi dan juga kedudukan ekonomi yang menjadi punca dadah mudah berada di pasaran serta wujudnya permintaan dan penawaran dalam kalangan orang ramai.

“Adakah kita mampu mencapai sifar dadah di Malaysia? Saya rasa tidak, kenapa? Kerana dokongan di pihak luar itu sentiasa mengancam persempadanan dan membolosi ruang-ruang yang longgar yang sebenarnya wujud disebabkan faktor ekonomi tadi

“Kekuatan ekonomi itu juga membawa kepada keseronokan untuk menggunapakai dan kita lihat di sini ia bukan sekadar mereka yang memiliki wang menggunakannya (dadah), mereka yang tidak berwang juga. Yang berwang mereka guna dadah yang lain, yang tidak mampu gunakan dadah yang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette