KUALA LUMPUR – Pemergian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid menyahut panggilan Ilahi amat dirasai Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam satu kenyataan, Shahrizat menyifatkan kematian Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sebagai satu kehilangan seorang srikandi dalam perjuangan pergerakan UMNO itu.
“Kehilangan Allahyarhamah amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutama kami Wanita UMNO kerana keberanian, semangat setiakawan dan aura positif yang sentiasa dibawa dalam dirinya.
“Beliau bukan sahaja seorang srikandi tetapi juga seorang pemimpin yang amat dihormati dan disayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pemergian Maznah yang meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Sambil menyifatkan Allahyarhamah sebagai sahabat dalam politik, Shahrizat berkata pemergian Maznah meninggalkan kekosongan yang cukup mendalam di jiwa seluruh ahli Wanita UMNO.
“Negara kehilangan seorang srikandi yang cekal dan gigih dalam membuktikan bahawa wanita mampu berjaya dalam pelbagai bidang di pentas dunia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Shahrizat berkata Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melalui Skuad An-Nur akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di semua 191 Parlimen.
Maznah, 62, yang juga Exco Wanita UMNO lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady’ sebelum ini dilaporkan kritikal berikutan komplikasi pendarahan dalaman selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) .
Beliau dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan sejak 18 September lalu.
Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya jam 10 malam ini di alamat Lot 3688, Jalan Ukay 2, off Jalan Lee Hin Neo, Ukay Heights, 68000 Ampang, Selangor. -MalaysiaGazette.