KLANG – Seorang pelajar tingkatan tiga yang dibuang sekolah kerana sering melanggar peraturan telah bertindak menggantungkan diri dengan kain pada kipas di biliknya.
Kejadian itu berlaku pada pukul 1.40 petang, Rabu lalu di kediaman pelajar tersebut di Taman Klang Utama, Selangor.
China Press melaporkan, pelajar itu bersama ibu bapanya telah menemui cikgu sekolah pada sebelah pagi berikutan masalah disiplin.
Pelajar itu kemudian dibuang sekolah kerana melakukan kesalahan berulang kali termasuk memeras ugut rakan sekolah yang lain.
Apabila pulang dari sekolah, dia telah memasuki bilik secara berseorangan sebelum dikesan dalam keadaan tergantung oleh ibunya pada sebelah petang. Pelajar tersebut disahkan mati selepas bantuan kecemasan diberikan.
Polis menolak kemungkinan unsur jenayah dalam kematian itu selepas siasatan mendapati tiada kesan pencerobohan dalam kediaman si mati. – MalaysiaGazette