Azam Baki

KOTA KINABALU -Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata dianggarkan RM1.5 bilion peruntukan kerajaan pusat diselewengkan daripada sebuah kementerian untuk melaksanakan projek di Sabah sejak 2009 hingga 2015.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui sebuah kementerian untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.

“Projek berkenaan adalah berkaitan dengan air, elektrik dan jalan raya dan mungkin ada projek-projek berkenaan tidak sempurna dibuat atau mungkin tidak betul dibuat.

“Kami juga melihat terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini. Kemungkinan kontraktor terlibat memberi rasuah kepada pihak-pihak tertentu, ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lebih 60 syarikat akan disiasat dan pihaknya akan mengheret semua yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan dan setakat ini pihaknya menahan tiga individu.

“Kami telah menyiasat sebahagian syarikat berkenaan. Ada beberapa syarikat telah ditutup dan kami telah menghantar pegawai untuk mencari saksi-saksi terlibat, ” katanya.

Azam berkata maklumat kes berkenaan diterima daripada orang ramai dan siasatan bermula selepas siasatan kes Jabatan Air Sabah tahun lepas.

Semalam SPRM menahan tiga individu termasuk seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian dalam siasatan mengenai penyelewengan dana berkaitan projek di Sabah.- BERNAMA