PPIM sentiasa ke depan membela mangsa penipuan.

SEDIH dengar cerita orang miskin kena tipu. Penipunya bukan sembarangan orang. Bergelar artis dan bertitle Datuk  lagi. Jumlah wang ditipu bukan RM10 atau RM50 tapi mencecah sampai RM50,000 dan RM60,000.

Bayangkan, orang miskin nak dapatkan wang sebanyak itu. Kalau 10, 20 tahun menabung pun belum tentu capai sebanyak itu. Untuk mencukupkan, terpaksalah bergolok bergadai harta benda sendiri selain pinjam dari kawan atau saudara mara.

Siapa tidak minat kalau produk dijanjikan adalah sebuah banglo yang harganya benar-benar mampu milik? Nak beli rumah bawah projek swasta yang cecah sejuta ringgit? Apatah lagi projek perumahan kerajaan yang harganya hanya mampu tengok.

Jadi, yang Dauk ini tawarkan benar-benar mampu milik. Sesiapa pun boleh memiliki banglo berharga RM50,000 hingga RM60,000. Sayugia diingatkan, status rumah yang ditawarkan ini jenis banglo ya, bukan teres, bukan rumah kos rendah. Banglo!

Nak tak nak, tanpa berfikir panjang dan atas dasar percaya dengan status artis itu, mereka terus bersetuju membelinya. Ada yang tempah sampai tiga empat buah. Untuk anak-anak, katanya. Lagipun, RM60,000 – jumlah paling murah ditawarkan pada zaman milenium ini.

Rumahnya besar, selesa, ada banyak bilik tidur dan bilik air. Kalau berhutang, bergolok gadai pun kira puas hati dengan sebuah banglo idaman yang bakal dimiliki. Itulah angan-angan mangsa.

Si penipu pula, apabila si miskin bersetuju membeli ‘banglo’ itu, mula membayangkan wang berjuta-juta ringgit bakal masuk ke kantongnya. Dia mula sibuk membuat perkiraan. Nak beli BMW, Mercedes, Audi, Fairlady, besarkan rumah dan makan angin luar negara.

Selesai proses bayaran, si miskin menunggu dengan hati girang, dari minggu ke sebulan. Masuk bulan ketiga hati mula gundah gulana. Projek pembinaan banglo masih belum dimulakan.

Lima bulan kemudian, hati sudah tidak tenang. Hubungi si penyangak. Bertanya. Janji demi janji dan jaminan demi jaminan ditaburkan untuk melegakan ketidak keruan hati si mangsa.

Si miskin mula memikirkan beban ditanggungnya. Tanah bendang dan kebun getah sudah dijual. Barang kemas diri sendiri dan milik anak-anak sudah masuk pajak gadai. Duit kawan dan saudara mara pun perlu dibayar lagi.

Inilah yang orang tua-tua kata dulu, “tak ada kerja, cari kerja. Tak ada penyakit, cari penyakit”. Elok-elok duduk bahagia tanpa hutang, mula dikelilingi hutang. Nak bertanam padi, bendang sudah dijual. Nak menoreh getah, kebun dah bertukar milik.

Tengok di tangan, telinga dan leher sudah kosong. Semuanya dah dihantar ke pajak gadai dan sudah habis tempoh pemajakan. Maka, ‘makan air matalah’, kata orang zaman dulu.

Si penyangak pula ketika si miskin hiba merana, sedang sibuk berjoli. Beli kereta mewah untuk diri sendiri dan untuk isteri.

Si isteri dulunya tidak pernah make-up, tetiba make-up mengalahkan si badut. Pakaian sebelumnya tutup aurat, sejak kaya raya menggayakan pakaian mengalahkan si perenang.

Bayangkan RM60,000 kali dengan lebih 200 mangsa penipuannya. Memang kaya gila si penyangak ini. Kali dengan 100 orang pun sudah dapat RM6 juta. Ini lebih 200 orang.

Berjuta-juta ringgit itu semuanya duit dari orang miskin. Golongan yang paling mudah ditipu, selepas guru yang berminat dengan skim cepat kaya dan golongan pertengahan yang menjadi mangsa penipuan gores dan menang.

Inilah adat manusia. Si miskin sentiasa menjadi makanan si kaya. Si bodoh pula makanan si cerdik. Yang berputih mata ialah si miskin dan si bodoh. Masa akan datang tak tahu macam mana bentuk penipuan akan berlaku.

Perlu dingatkan, sekarang ini macam-macam skim penipuan bertebaran bebas. Sasaran utama penyangak ‘berlesen’ ini ialah golongan miskin dan berpendapatan sederhana.

Tawarlah apa sahaja, si miskin akan terbelalak biji mata berminat nak beli atau nak miliki, walaupun hakikatnya mereka tidak ada duit.

Si penyangak tidak peduli pun si miskin ada duit atau tidak. Janji, kalau berminat, ikhtiarlah cari duit untuk dapatkan produk yang ditawarkan.

Apapun, si penyangak sudah kena cekup pihak berkuasa. Diharapkan hukuman setimpal dikenakan ke atasnya. Contohnya, penjara melebihi 20 tahun dan sebatan.

Saya tak mahu dengar, penyangak yang mencuri duit orang miskin sehingga berpuluh juta ringgit dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM1 juta.

Hukuman sebanyak itu tidak akan menakutkan orang lain untuk terus buka bisnes menipu. Kumpul duit banyak-banyak, duduk dalam penjara tak sampai setahun. Keluar penjara, hidup mewah dengan duit bernilai juta-juta ringgit.

Yang miskin terbeban hutang seumur hidup, selain menanggung malu kerana tidak dapat langsai hutang.

Akhir kalam, ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Pengarah Unit Tindakan Khas, Yusuf Azmi dan kakitangannya menjalankan tugas dengan cemerlang sekali.

Kepada yang di luar sana pula, cukup-cukuplah menjadi mangsa penipuan. Jangan mudah terpedaya dengan produk murahan. Ingat satu saja, zaman sekarang ini mana ada produk murah dan terjamin?

Semua kejar duit. Artis itu menipu pun kerana duit, bukan kerana nak kejar pahala di akhirat. Datuk pun sama. Menipu bukan kerana nak bela rakyat, kerana duit. Duit! Duit! Duit! – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast