Fadhli dan Wan Fayhsal ada di sebuah hotel memantau himpunan selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

HIMPUNAN aman Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) di ibu kota Sabtu lalu boleh dikatakan gagal sepenuhnya. Bawah Kolong (BK) hanya bagi satu perempat bintang.

Selain kehadiran tidak sampai pun 2,000 orang, ketua-ketua mereka seperti Fadhli Shaari dan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal langsung tidak nampak batang hidung untuk menyampaikan amanat dan apa tujuan mereka nak selamatkan Malaysia.

BK percaya, hampir 2,000 peserta yang hadir tu nak tahu apa yang bahayanya Malaysia sekarang. Kenapa Malaysia perlu diselamatkan dan PN nak selamatkan Malaysia dari ancaman siapa?

Malangnya, kedua mereka tak hadir, melainkan yang kelihatan dan berada atas kenderaan hilux hanya dua bekas ahli parti politik iaitu CheguBard bekas ahli seumur hidup PKR dan seorang lagi bekas ahli UMNO, Faisal Ismail.

Jadi, ada sebab kenapa hampir 2,000 peserta yang berjemur panas di jalanan sejak jam 12 tengah hari merasa kecewa. Mereka merasakan telah dipermain dan diperalatkan oleh penganjur.

BK yang turut tercari-cari dan mencari-cari kelibat Fadhli dan Wan Fayhsal cuba buat semakan dengan rakan-rakan media dan kenalan-kenalan dalam PN. Mereka kata, dua orang tu ada, tapi hotel mereka telah ‘dikepung’ polis.

Timbul tanda tanya BK, kalau hotel kena ‘kepung’, kenapa CheguBard dan Faisal yang ada bersama mereka di bilik hotel boleh terlepas ke tempat himpunan, sedangkan Fadhli dan Wan Fayhsal gagal melepasi ‘kepungan’ itu?

Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid sendiri dalam kenyataan balasnya menyatakan tiada mana-mana individu yang terlibat dengan himpunan selamatkan Malaysia dikepung.

Dakwaan itu, tegas Allaudeen, tidak benar kerana polis sudah bertindak untuk memudah cara himpunan itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Nah, sekarang apa alasan terpaling relevan untuk Fadhli dan Wan Fayhsal berikan kepada peserta himpunan yang marah dan ramai daripada mereka meninggalkan himpunan itu secara beransur-ansur?

Pada BK, cara mereka berdua buat kepada peserta himpunan itu tak molek. Sangat-sangat tak molek.

Sekurang-kurangnya kalau rasa malu nak hadir, maklumkan sepatah dua kepada wakil kamu, CheguBard dan Faisal tu kenapa kamu berdua tak dapat bersama dalam himpunan. Cirit biritkah, atau benarkah ke klinik sebagaimana diviralkan pihak tertentu mengenai keadaan kamu pada hari himpunan tersebut.

Ini kamu berdiam diri. Orang-orang tua kata, lagi kamu diam, lagi membenarkan apa yang ditanggapi pihak musuh. Ya, sebetulnya begitulah, sebab sebelumnya kamu berdegar-degar di luar, rupanya bila suruh masuk gelanggang mula ketar lutut.

Apapun, BK buat kesimpulan ketidakhadiran Fadhli dan Wan Fayhsal ke himpunan itu sebab mereka rasa tak berbaloi dengan jumlah peserta yang hadir.

Mungkin pada mereka, kalau tunjukkan juga muka di khalayak yang tidak berapa kerat itu dah pasti akan menjatuhkan maruah dan air muka mereka. Maka, lebih elok berada di bilik hotel berhawa dingin.

Selain itu, BK nak juga nasihatkan Fadhli dan Wan Fayhsal, jadilah pemimpin berintegriti, bermoral dan dihormati. Letakkan taraf kepimpinan anda di atas kepala rakyat, bukan di bawah tapak kaki rakyat.

Maksud BK, apabila kamu gagal tunjuk khidmat bakti yang baik kepada rakyat di kawasan kamu, sebaliknya sibuk dengan aktiviti nak menumbangkan kerajaan di peringkat pusat, rakyat tidak lagi hormati kamu sebagai Yang Berhormat.

Rakyat akan lihat, pandang dan letak kamu di bawah tapak kaki mereka. Rakyat tidak lagi tunduk hormat setiap kali terserempak dengan kamu dan hanya menganggap kamu sekadar orang biasa walaupun kamu bergelar YB.

YB, selain Yang Berhormat, ia juga membawa definisi Yang Berkhidmat atau wakil rakyat. Kalau rakyat Kelantan panggil Tok Wakil. Tugasan YB ini ialah membawa suara rakyat ke pihak atasan, selain mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Tetapi, sekarang YB bukan Yang Berkhidmat lagi. Mereka lebih kepada menyusahkan rakyat. Nak buka pejabat minta duit dengan rakyat. Guna duit poket ziarah rakyat sakit, mati pun ungkit di Parlimen.

Bahkan, ada yang merungut tak dapat bayar gaji kakitangan, tak dapat buka pusat khidmat dan tak dapat hadir kenduri rakyat sebab tak ada duit atau sebab kena guna duit gaji.

Jauh bezanya YB pembangkang hari ini dengan YB pembangkang era 60an, 70an, 80an dan 90an. YB pembangkang zaman dulu, sanggup gadai emas berlian dan harta sendiri demi untuk melihat rakyat dapat makan sesuap nasi.

YB pembangkang sekarang, buat fitnah adalah mainan mereka, bila kena saman minta sedekah dengan rakyat nak bayar. Senangnya jadi YB pembangkang sekarang. Semuanya minta dengan rakyat. Rakyat yang akan tanggung makan minum mereka.

Walaupun, Malaysia hari ini sudah selamat selepas himpunan selamatkan Malaysia selesai tanpa penutup kira-kira jam 3.30 petang Sabtu tu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.