Home Utama Hilmi nafi sokong doktor gigi palsu

Hilmi nafi sokong doktor gigi palsu

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kesihatan menafikan beliau atau mana-mana pihak daripada kementeriannya memberi sokongan kepada individu yang didapati bersalah mengamalkan pergigian tanpa lesen.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, beliau tidak pernah menyokong atau berkompromi dengan individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan-kenyataan negatif di sosial media yang mendakwa Hilmi memberi sokongan kepada Nur Farahanis Ezatty yang didapati bersalah menjalankan perniagaan pendakap gigi tanpa lesen di Bakti Homestay di Bukit Katil, Melaka.

Nur Farahanis Ezatty Adli yang didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka dijatuhi hukuman denda sebanyak RM70,000 di bawah Seksyen 27, Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998.

Bekas penuntut vokasional itu dipenjarakan kerana gagal melunaskan bayaran denda.

Gadis yang berusia 20 tahun itu kemudian dibebaskan selepas enam hari apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantu menjelaskan denda tersebut.

Tindakan PPIM itu dikecam dalam kalangan pengamal perubatan kerana ia bertentangan dengan undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna. – MalaysiaGazette