Home Utama Kerajaan jangan tunduk desakan Dong Zong

Kerajaan jangan tunduk desakan Dong Zong

KUALA LUMPUR –  Kerajaan diberi peringatan agar tidak tunduk kepada tekanan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) untuk mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) i semata-mata mahu mendapatkan sokongan pengundi kaum Cina.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh merasa bimbang dengan bahang pilihan raya umum ke-14 yang semakin dekat akan menyebabkan kerajaan terpaksa tunduk dengan desakan sehingga tidak memikirkan implikasinya kepada keharmonian negara kelak.

“Perkara ini yang kita bimbang disebabkan kerajaan nak sokongan undi, nak pancing undi kita bagilah (luluskan UEC).

“Disebabkan atas pertimbangan jangka pendek ini, kita gadaikan masa depan negara pada jangka masa panjang,” kata beliau semasa sidang media khas di pejabat Perkasa hari ini.

Tegas Sirajuddin, langkah memberikan kelulusan UEC hanya akan menimbulkan kemarahan majoriti masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu.

“Langkah ini hanya akan memberikan masyarakat majoriti orang Melayu marah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sirajuddin juga mengulangi desakan supaya kerajaan menolak secara total cubaan dilakukan oleh Dong Zong untuk mendapatkan kelulusan UEC.

“Perkasa memberi amaran sekeras-kerasnya kepada semu parti politik, NGO khususnya Dong Zong dan mana-mana individu supaya tidak bermain api dan memberhentikan percubaan mereka untuk mendapatkan pengiktirafan UEC.

“Perkasa juga menggesa kerajaan supaya menolak secara total segala usaha daripada pelbagai pihak terutamanya Dong Zong untuk mendapatkan pengiktirafan UEC,” katanya lagi.

Sirajuddin juga menyifatkan tindakan meluluskan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan Negara 1996.

“Perkasa mengecam segala usaha untuk meluluskan pengiktirafan UEC kerana ianya lebih kepada agenda politik,” tegas beliau.

UEC menjadi isu kontroversi terutamanya ketika pilihan raya yang mana parti politik menggunakannya sebagai alat untuk kepentingan politik sendiri.

Penyokong UEC pula menyatakan Malaysia rugi kerana tidak mengiktiraf sijil itu, manakala pengkritik pula berhujah ia tidak sejajar Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sijil UEC merupakan peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina. – MalaysiaGazette