N. Keshvin dipercayai terjatuh selepas dipercayai cuba mengambil basikal miliknya yang tersangkut di ampaian.

PULAU PINANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah termasuk retak tengkorak dan patah kedua-dua tulang rusuk selepas terjatuh dari tingkat lima rumahnya di Pangsapuri Desa Indah, Relau di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang tadi, N. Keshvin terjatuh selepas dipercayai cuba mengambil basikal miliknya yang tersangkut di ampaian.

Menurut sumber polis, kanak-kanak itu yang didakwa hiperaktif pada mulanya dikatakan mencampakkan basikalnya itu menerusi tingkap berjeriji tersebut.

“Selepas basikalnya tersangkut, kanak-kanak itu membuka jeriji tingkap untuk mengambilnya semula namun terjatuh di kawasan tempat letak kereta pangsapuri berkenaan oleh orang awam.

“Dia ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah yang kemudiannya menghubungi ambulans dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian oleh ibunya yang keluar menjemput kakak mangsa berusia enam tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Sungai Ara di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (1) Timur Laut, Superintenden Izwan Abd. Karim mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP untuk rawatan lanjut.

“Kanak-kanak itu kini dilaporkan masih kritikal tetapi keadaannya stabil dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette