KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot nelayan Kelas B di perairan Selangor, kira-kira 3.1 Batu Nautika dari Kapar, Klang.
Pengarah Maritim Daerah, Kapten Abu Zaki Mohammad berkata, bot ronda maritim yang membuat pemeriksaan mendapati bot nelayan tersebut telah melanggar syarat sah lesen vesel yang telah dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar penangkapan ikan yang telah ditetapkan dan menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, tambahnya bot dan tekong serta seorang awak-awak warga tempatan kemudiannya ditahan sekitar kira-kira 3.20 petang semalam.
“Bot itu dan mereka yang ditahan diiringi ke Jeti DM4 Selangor bagi siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen vesel.
“Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor akan terus giat dilakukan Maritim Malaysia tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak yang degil melanggar undang-undang.
“Namun orang ramai diharapkan dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan atau aktiviti jenayah di laut dalam talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette