Puratanya, pemilik konsesi dikehendaki membelanjakan 45 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk bayaran balik pinjaman, kos umum (overhed) dan operasi, selain baik pulih dan menaik taraf.

KUALA LUMPUR – Pensyarah kanan ekonomi sebuah univerisiti menyifatkan sebagai ‘mustahil’ tawaran tiada kenaikan tol selama 20 tahun oleh sebuah syarikat yang menawarkan diri untuk mengambil alih Plus Malaysia Bhd.

Dr Ahmad Rizal Mazlan dari Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia berkata tawaran itu ‘melampaui realiti ekonomi dan kewangan’ memandangkan penjagaan Lebuhraya Utara-Selatan kelolaan PLUS sepanjang 772 km, terus meningkat disebabkan oleh kadar inflasi, kos bahan dan penyelenggaraan.

“Secara peribadi, saya melihatnya sebagai mustahil untuk tidak menaikkan kadar tol, terutama bagi tempoh masa yang panjang sehingga 20 tahun. Buat masa ini, kos operasi yang melibatkan pembolehubah tersebut kira-kira setengah bilion ringgit setahun, dan meningkat dan akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama.

Kementerian Kerja Raya juga mengatakan secara puratanya, pemilik konsesi dikehendaki membelanjakan 45 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk bayaran balik pinjaman, kos umum (overhed) dan operasi, selain baik pulih dan menaik taraf.

Dr Ahmad Rizal membuat ulasan itu berikutan tawaran RM36 bilion oleh Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih konsesi tol lebuh raya terbesar negara itu daripada UEM Group Bhd yang menguasai 51 peratus kepentingan dalam PLUS, manakala baki 49 peratus lagi dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain Lebuhraya Utara-Selatan yang merupakan tulang belakang sistem jalan raya di Semenanjung Malaysia, PLUS juga mengendalikan tujuh lebuh raya lain, manakala Maju Holdings hanya mengendalikan Maju Expressway (MEX) yang menghubungkan Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan KLIA2 dengan Kuala Lumpur.

UEM dan KWSP masing-masing menyatakan mereka tidak berniat untuk menjual kepentingan masing-masing dalam urus niaga yang diibaratkan sebagai ?David dan Goliath’ itu.

Dr Ahmad Rizal juga berkata KWSP khususnya, tidak sewajarnya menjual pelaburan jangka panjang seperti PLUS kerana ini bertentangan dengan kepentingan 14.5 juta ahlinya.

“Bagi PLUS, konsesi itu sudah menjalankan tanggungjawab yang baik dalam mengurus lebuh raya, dan menerusi pengalaman yang mereka miliki, ia merupakan entiti terbaik untuk (terus) menguruskannya.”

“Tidak ada sebab bagi KWSP dan UEM untuk melupuskan PLUS berdasarkan keuntungan dan sumbangan yang masuk, selain jumlah dan aliran tunai kukuh yang diterima. KWSP juga perlu mengekalkan terus aset ini memandangkan kesukaran untuk mencari pengganti berdasarkan profail aset sedemikian,” katanya.

Walaupun kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi, peningkatan kadar tol PLUS sebanyak 5 peratus setiap tiga tahun, juga merupakan antara yang paling rendah dalam kalangan semua pemegang konsesi tol berdasarkan pemiliknya merupakan entiti berkaitan kerajaan, dengan rakyat diutamakan kerajaan, katanya.

Dr Ahmad Rizal berkata PLUS sebelum ini dimiliki secara persendirian. namun ia kini di tangan kerajaan dan menjadi aset strategik, dan tidak berdaya maju untuk menyerahkannya semula kepada syarikat persendirian.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast