Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat pameran Konsep Rekabentuk Stesen High Speed Rail (HSR) pada Majlis Pelancaran Konsep Rekabentuk Stesen High Speed Rail (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Proses pengambilalihan tanah bagi pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR) akan bermula pada 1 November, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pengambilalihan tanah itu bermula pada hari yang sama dengan pemeriksaan awam yang bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berkaitan projek HSR itu bagi tempoh tiga bulan.

“MyHSR telah dan sedang mengemukakan permohonannya kepada pihak berkuasa kerajaan berkaitan bagi tujuan pembekuan tanah, proses penting untuk mengkaji daya maju kawasan yang telah dipilih.

“Kemudiannya kawasan yang dipilih dipertingkatkan lagi bagi mencerminkan maklum balas awam terhadap penjajaran yang mana selepasnya, kawasan tanah yang telah dimuktamadkan akan dibeli bagi projek tersebut,” katanya dalam ucapan beliau semasa memperkenalkan reka bentuk konsep stesen HSR KL-Singapura, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pengambilalihan tanah itu dijangka selesai pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, penjajaran landasan HSR akan terdiri daripada pusat populasi semasa dan pusat populasi masa depan berikutan keupayaan projek itu untuk menjadi enjin pertumbuhan bagi kawasan sekitarnya.

“Kami juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) untuk memastikan semua stesen akan mempunyai hubungan pelbagai model termasuk bas berhenti-henti dan bas antara bandar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nur Ismal berkata, kerajaan sedang menimbang cadangan daripada pemaju yang tersenarai di Hong Kong Country Garden Holdings Co Ltd untuk membina stesen HSR di Forest City, Johor.

“Kami juga dimaklumkan bahawa ketika ini cadangan itu sedang dipertimbang oleh SPAD. Jadi mereka akan bekerjasama untuk mendapatkan keputusan daripada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang keputusan tidak dijangka menambah kos kepada projek itu. – MalaysiaGazette