Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi ketika menjawab soalan di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Gesaan pembangkang supaya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menangkap dan mengektradisi ahli perniagaan Jho Low ke negara ini sudah tidak relevan kerana agensi perisikan dalam dan luar negara sudah memuktamadkan kes berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak menolak usaha untuk mengesan semula boleh dilakukan sekiranya kes dakwaan pecah amanah itu dibangkitkan semula oleh pemimpin pembangkang.

“Kita yakin apa yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa terutmaanya agensi perisikan telah dimuktamadkan.

“Kita yakin kes itu tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada 1 Ogos lepas, Azmin selaku Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui peguam Latheefa Koya menghantar tuntutan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam tuntutan itu Azmin mendakwa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jo, 36, yang mempunyai alamat terakhir, di Tanjung Bunga, Pulau Pinang disyaki melakukan beberapa kesalahan jenayah termasuk pecah amanah.

Jho Low juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa).

Ahmad Zahid juga berkata, sebelum ini pihaknya telah meminta secara rasmi bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Jho Low berhubung pelbagai dakwaan pelbagai jenayah pecah amanah itu.

Malah kata Ahmad Zahid, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Interpol dan kerjasama untuk mengesan mana-mana individu didakwa melakukan jenayah itu bukan sesuatu yang sukar.

“Kerjasama dengan Interpol bukan hanya terjalin erat malah Presiden Interpol baharu, (kerana) bukan orang lain, beliau juga adalah Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Republik Rakyat China.

“Kita amat yakin bahawa pihak Interpol bertindak secara profesional dan pihak PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci oleh pihak Interpol,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.