TOKYO – Kerajaan Jepun akan menjadi hos kepada pusingan terkini rundingan Kerjasama Trans-Pasifik minggu depan.

Perdana Menteri, Jacinda Arden bersungguh-sungguh untuk mengadakan rundingan semula TPP termasuk memasukkan kaedah mengekang spekulasi hartanah asing disebabkan New Zealand kini sedang berhadapan dengan peningkatan harga rumah.

Pada asalnya Amerika Syarikat turut menjadi ahli TPP bagaimanapun rundingan tersebut tergantung apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump keluar daripada perjanjian tersebut bagi melindungi pekerjaan di negara tersebut.

Jepun berharap dapat memuktamadkan perjanjian tersebut bulan depan bagi menunjukkan kepada negara-negara lain yang ia adalah juara perdagangan bebas.

Namun terdapat risiko rundingan tersebut tidak berjaya sekiranya kerajaan baharu New Zealand tidak berpuas hati dengan butiran pakatan.

“Kami berharap rundingan tersebut membolehkan kita terus maju untuk mencapai persetujuan perjanjian,” kata Menteri Ekonomi Jepun, Toshimitsu Motegi.

Sebelas ahli TPP mensasarkan perjanjian ini dapat dicapai pada November semasa mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang diadakan di Vietnam.

Selepas penarikan diri Amerika Syarikat, Vietnam cuba mengubah landskap TPP kepada hak pekerja dan harta intelek.

Sekiranya rakan-rakan lain cuba mencari perubahan mengikut kesesuaian masing-masing, perjanjian akhir akan menjadi lebih sukar.

Rundingan TPP akan diadakan pada 30 Oktober sehingga 1 November ini di Chiba Prefecture, timur Tokyo.-MalaysiaGazette