Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merumuskan belanjawan yang dibentangkan oleh pembangkang hari ini sebagai tidak bertanggungjawab, tidak relistik dan tidak mampan.

Menurutnya, ia dapat dibuktikan dengan melihat perbelanjaan mengurus di Pulau Pinang yang meningkat berkali ganda daripada RM252.3 juta pada 2007 kepada RM825.9 juta pada 2016.

Manakala Selangor mencatatkan pertambahan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri daripada RM1.15 bilion pada tahun 2008 kepada RM2.34 bilion pada tahun 2016.

“Sekiranya mereka telah berbelanja secara berhemah, sepatutnya perbelanjaan mengurus mereka menurun bukannya meningkat. Kemudian mereka menjanjikan pemotongan cukai seperti memansuhkan GST dan mengurangkan kadar duti eksais ke atas kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rahman, belanjawan yang dibentang oleh pembangkang juga dilihat tidak realistik apabila mereka menjanjikan pemansuhan lebuhraya bertol, memberikan pendidikan percuma, pemotongan cukai seperti memansuhkan GST dan mengurangkan kadar duti eksais ke atas kenderaan tanpa menyediakan pelan rancangan ekonomi atau mekanisme khusus bagi menampung kos tersebut.

Justeru, janji-janji yang ditaburkan oleh pembangkang seperti ini dapat memberikan kesan yang negatif kepada negara.

“Janji-janji ini bukan sahaja tidak akan mencipta pekerjaan, meningkatkan pendapatan atau mengurangkan kos sara hidup sebaliknya janji janji ini akan menyebabkan perniagaan berhenti mengambil pekerja, pekerja akan kehilangan pekerjaan, agensi penarafan akan menurunkan penarafan kredit bon kerajaan yang akan menyebabkan kos pinjaman kerajaan meningkat dan banyak kesan besar negatif yang akan melibatkan rakyat secara terus,” katanya.

Sementara itu, dasar-dasar yang dicadangkan oleh pembangkang, yang bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan sedia ada hanya bertujuan memperdayakan rakyat.

“Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan agensi-agensi penarafan semuanya mengakui usaha kerajaan melaksanakan dasar-dasar fiskal yang mampan seperti melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan dan merasionalisasi subsidi adalah usaha ke arah yang betul.

“Sementara itu pembangkang mahu melaksanakan dasar-dasar berlawanan dengan apa yang sudah dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Seterusnya, Rahman mengingatkan kepada semua agar tidak memperjudikan masa depan negara dengan mempercayai janji-janji palsu daripada pihak pembangkang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast