Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan terakhir persiapan Bajet 2018 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat, 27 Oktober 2018.
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau persiapan terakhir Bajet 2018 di Kementerian Kewangan di sini.

Ketibaan Najib yang juga Menteri Kewangan disambut pegawai dan petugas kementerian yang terlibat dalam penyediaan belanjawan itu, sebelum beliau melawat bilik-bilik operasi.

Beliau diiringi Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz dan Datuk Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dalam tinjauan itu.

Kebiasaannya, tinjauan persiapan bajet dilakukan pada waktu malam sehari sebelum hari pembentangan belanjawan.

Najib dijadual membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat esok.

Dalam entri blog najibrazak.com, perdana menteri berkata Bajet 2018 merupakan inisiatif baharu dan beberapa pengumuman penting akan disampaikan untuk manfaat semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata bajet itu akan terus dipacu oleh matlamat untuk memperbetulkan masalah lalu dan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast