KUALA LUMPUR – Petang ini Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2018 yang sudah tentu bajet terakhir atau ‘senjata paling ampuh’ kepada BN sebelum PRU-14.

Dalam media sosial semalam, antara cerita tular ialah teka-teki baju Melayu warna apa yang akan dipakai oleh Datuk Seri Najib Razak?

Ramai kata merah, ada kata putih tetapi ramai yakin biru pekat.

Seperti tradisi, pembentangan bajet diadakan hari Jumaat mengambil berkat penghulu segala hari dalam Islam.

Namun kali ini lawatan terakhir Najib selaku Menteri Kewangan tidak lagi dibuat waktu malam tetapi diadakan pada petang Khamis.

Masanya dianjak awal setengah jam. Dahulu biasa bermula pukul 4 petang tetapi hari ini bermula 3.30 petang.

Ia bagi menghormati waktu Maghrib yang sekarang masuk agak awal. Najib mengandaikan masa yang diperlukan mungkin dua jam setengah.

“Ia pertama kali bermula pada 3.30 petang memandangkan Maghrib masuk pada 7 malam. Kami mahu memastikan ada masa untuk menunaikan solat Asar, dan tidak berpanjangan kepada waktu Maghrib. Kami tidak boleh mengubah waktu Maghrib namun masa pembentangan Bajet boleh ditukar,” katanya semasa taklimat Bajet 2018 kepada pengarang media semalam.

Namun apa yang penting bajet 2018 diuar-uarkan ‘bajet untuk semua’ dalam visi PM sebelum ini.

Najib mahu rakyat memahami matlamat bajet kerana ia mesti mencerminkan pengurusan ekonomi, kewangan dan fiskal negara yang kukuh.

Mungkin ada ‘habuan’ kepada golongan menengah rendah (M40) selepas fokus sebelum ini kepada rakyat berpendapatan rendah dan kakitangan kerajaan.

Golongan miskin bandar juga perlu diberi keutamaan.

Sebelum ini, PM menyatakan ada sesuatu untuk sekolah tahfiz selepas mengambilkira tragedi di Keramat.

Masalah sosial terutama penagihan dan pengedaran dadah mungkin dijadikan agenda utama seperti dipinta oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Semalam, Najib ada menyatakan peruntukan setiap negeri ada termasuk yang ditadbir pembangkang.

Lebih penting segala peruntukan mengurus dan perbelanjaan harus mengikut wang yang ada dalam ‘kantung’ negara.

Ia mesti dalam kemampuan dan pembahagian ‘kek’ ekonomi mesti bersesuaian dengan prioriti.

Bukan senang hendak memuaskan hati semua rakyat berbanding belanjawan alternatif pembangkang yang bersifat pendekatan populis.

“Bajet Pembangkang bukan berasaskan fakta dan angka, dan akan menyebabkan ‘lubang besar’ dalam kewangan kerajaan. Mereka tidak mempunyai kepimpinan yang padu dan ini dicerminkan dalam cadangan bajet yang kurang kredibiliti dan konsistensi.

“Ini menunjukkan langkah mereka tidak populis sepenuhnya dan tidak dapat disokong dengan angka seperti hasil. Langkah yang dicadangkan juga tidak boleh dilaksanakan, dan oleh itu tidak sesuai,” kata Najib semalam.

Dalam keadaan ekonomi dunia dan harga bahan bakar global tidak menentu ini kita berharap Bajet 2018 mampu memberi sesuatu kepada semua golongan.

Dalam masa yang sama kita berharap kadar defisit dikurangkan dan tidak banyak perbelanjaan tambahan selepas itu.

Sama-sama kita tunggu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.