Hassan Rouhani. foto Agensi

DUBAI – Iran akan terus mengeluarkan peluru berpandu untuk tujuan pertahanan dan tidak menganggap ia melanggar perjanjian antarabangsa, kata Presiden Hassan Rouhani.

Rouhani bercakap menerusi siaran televiyen beberapa hari selepas Dewan Rakyat Amerika Syarikat mengundi untuk mengenakan sekatan baru terhadap program peluru berpandu balistik Iran.

Beliau juga bertemu dengan ketua pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Tehran, yang sekali lagi menyuarakan kepatuhan Iran terhadap kesepakatan 2015 yang membelenggu program nuklearnya sebagai balasan bagi pelepasan sekatan yang menyebabkan Presiden Donald Trump tidak puas hati.

“Kami telah membina, sedang membina dan akan terus membina peluru berpandu dan tidak melanggar perjanjian antarabangsa,” kata Rouhani dalam ucapan di parlimen.

Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan secara satu pihak terhadap Iran, dengan mengatakan ujian peluru berpandu itu melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Beratu (PBB) dan menyeru Iran untuk tidak melakukan kegiatan yang berkaitan dengan peluru berpandu.

Iran menafikan sedang mencari senjata nuklear dan mengatakan ia tidak mempunyai rancangan untuk membina peluru berpandu nuklear.

Rouhani juga mengkritik Amerika Syarikat atas keengganan Trump pada bulan ini untuk mengesahkan secara rasmi bahawa Tehran mematuhi perjanjian mengenai program nuklear Iran, walaupun para pemeriksa antarabangsa mengatakan demikian.

“Anda mengabaikan rundingan dan perjanjian lepas yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dan mengharapkan orang lain untuk berunding dengan anda?.

“Kerana tingkah laku itu, Amerika sepatutnya melupakan sebarang pembicaraan dan persetujuan di masa depan dengan negara-negara lain,” kata Rouhani, merujuk kepada Korea Utara meskipun tidak menyebut republik itu secara spesifik. – MalaysiaGazette