Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang hari ini menetapkan tarikh 30 November depan bagi penetapan semula kes rusuhan di Pusat Membeli Belah Ampang Point membabitkan Kumpulan Merahv2 dan Bersih5.

Menurut Peguam Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Merah, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Hakim Mahkamah Majistret,Tuan Mohamad Firdaus Sadina Ali tidak dapat menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada hari ini.

Ia berikutan kertas siasatan dan juga dokumen masih di dalam semakan Jabatan Peguam Negara dan belum diterima oleh Mahkamah.

“Dokumen telah diserahkan kepada pihak peguam tetapi mahkamah masih lagi belum dapat menetapkan tarikh bicara kerana kertas siasatan dan juga fail masih berada di Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada 13 November tahun lalu, Jamal dan sembilan yang lain dituduh kerana melakukan rusuhan di pusat membeli belah berkenaan ketika Gerakan Baju Merah menghalang provokasi Roadshow Baju Kuning di dalam premis terbabit.

Situasi tegang apabila Jamal ingin meminta penjelasan daripada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung Pengedaran Risalah siri jelajah Bersih 5 yang menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada supaya rakyat turun berdemonstrasi pada 19 November 2016.

Kedua-dua kumpulan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan tetapi hanya Kumpulan Baju Merah sahaja didakwa di bawah Sesyen 147 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette