Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (kanan) menyampaikan Anugerah Penghargaan kepada Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Teo Kok Seong (tengah) sambil diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah (kiri) pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat majmuk di negara ini berpunca daripada sistem pendidikan.

Dalam syarahannya yang bertajuk Dasar Bahasa Kebangsaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) hari ini, beliau mendakwa pengasingan antara kaum sejak di peringkat tadika menjadi faktor perpecahan.

“Setelah 60 tahun merdeka, banyak pihak telah mendapati penyatuan liguistik melalui Bahasa Melayu yang merupakan bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan dalam negara kita semacam tidak tercapai.

“Ini secara nyatanya dapat dilihat dengan wujudnya polarisasi kaum di sekolah dan berterusan di institusi pengajian tinggi dan ia didapati mantap di tempat kerja.

“Dalam hal polarisasi kaum ini, tidak dapat dinafikan tuan-tuan dan puan-puan(bahawa) sistem pendidikan kita adalah antara penyebabnya. Ini kerana sistem pendidikan kita bukan sahaja menggalakkan sisitem pendiddikan kita malah membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia yang cukup muda, iaitu bermula di tadika dan sekolah-sekolah rendah.

“Petua kita untuk menyatupadukan golongan muda apabila mereka berada di sekolah menengah nampaknya kurang malah tidak menjadi. Ini antaranya adalah kerana akibat langsung daripada pengasingan etnik yang berlaku sebelum ini yang tidak memungkinkan perpaduan tulen berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam majlis sama menolak sistem pendidikan yang dibentuk oleh kerajaan menjadi faktor kepada perpecahan kaum di negara ini.

Menurut Nazri, kewujudan sekolah jenis kebangsaan atau sekolah venarkular bukan menjadi faktor masyarakat dalam negara ini hidup berasingan mengikut kaum, katanya ketika diminta mengulas dakwaan Kok Seong.

“Saya tidak fikir kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini menjadi faktor (masyarakat) kita menjadi terasing. Bahasa ibunda tidak boleh dihapus. Bahasa ibunda tiap-tiap kaum itu mesti dibenarkan dan diizinkan untuk terus berkembang.

“Tapi, dalam masa sama, jangan sampai mengabaikan bahasa kebangsaan, inilah yang menjadi masalah. Yang jadi masalah adalah pengabaian (bahasa kebangsaan) itu, bukannya sistem pendidikan kita.

“Sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, kalau dia menekankan penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan menjadi masalah. Kita bukan memaksa semua kaum menggunakan bahasa kebangsaan kita dengan memaksa tapi kita mahu ianya menjadi penyatu,” tegas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Sebaliknya, tegas Nazri, polarisasi kaum yang berlaku disebabkan pengabaian penggunaan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan atau sekolah venarkular. -MalaysiaGazette