JOHOR BHARU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah mengharamkan dua penceramah, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haslin Bollywood daripada menyampaikan ceramah di negeri Johor.

Ini berikutan pandangan dua penceramah terkenal itu boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Menurut Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, ia adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dikeluarkan hari ini.

“Kandungan ceramah yang pernah disampaikan oleh kedua-dua penceramah sebelum ini dilihat boleh membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum.

“Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Singapura mengharamkan dua pendakwah berkenaan memasuki republik itu berikutan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan menyebarkan pandangan yang memecah belahkan rakyat.

Kementerian Dalam Negeri Singapura, dalam satu kenyataan, menyatakan Ismail Menk dalam ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

Haslin pula dituduh membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan di antara orang Islam dan bukan Islam yang disifatkan sebagai menyimpang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.