Shiraishi memberitahu polis bahawa dia telah menghubungi mangsa menerusi Twitter dan membunuh mereka 'pada hari dia bertemu' mereka, menurut beberapa media yang memetik sumber.

TOKYO – Seorang lelaki ditahan apabila polis menjumpai sembilan mayat tanpa kepala yang telah busuk dalam sebuah rumah mengaku membunuh kesemua mangsa dalam tempoh dua bulan selepas menghubungi mereka menerusi Twitter, lapor media hari ini.

Pihak berkuasa menyoal siasat Takahiro Shiraishi, 27, yang dilapor mengaku mencincang daging mayat dan membuangnya bersama sampah dan kemudiannya meletak najis kucing di atas mayat dalam usaha menghapuskan bukti.

Kes yang telah menggemparkan Jepun, dengan kadar jenayah yang rendah, memberi gambaran samar terhadap kediaman di kawasaan kejiranan yang sunyi apabila terpampang di muka hadapan akhbar di seluruh negara.

“Killing Room (Bilik pembunuhan),” menurut tajuk tabloid Nikkan Sports.

“One murder a week (satu pembunuhan satu minggu),” menurut tajuk Sports Nippon.

Shiraishi memberitahu polis bahawa dia telah menghubungi mangsa menerusi Twitter dan membunuh mereka ‘pada hari dia bertemu’ mereka, menurut beberapa media yang memetik sumber.

Dia berpindah ke kediaman di Zama, barat daya Tokyo pada 22 Ogos lalu dan menghubungi mangsa dengan Twitter bahawa dia akan membantu rancangan bunuh diri mereka, lapor akhbar Mainichi Shimbun.

Penyiasatan terhadap kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun membawa polis kepada penahanan Shiraishi dan penemuan mayat.

Terdahulu wanita tersebut berkata menerusi akaun twitter: “Saya mencari seseorang untuk mati bersama saya,” lapor media tempatan.

Pihak berkuasa kemudiannya mengaitkan hubungan antara wanita itu dengan Shiraishi.

Jiran-jiran berkara mereka perasan bau busuk dari kediaman tersebut.

Suspek pembunuhan yang berusia 27 tahun itu kini diserahkan kepada pendakwaraya, kata seorang anggota polis kepada AFP.

Dia telah didakwa kerana melupuskan mayat secara tidak betul tetapi polis sedang mencari bukti dia membunuh kesemua sembilan mangsa. – Agensi