Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor ditahan SPRM kerana dipercayai terlibat meminta dan meminta rasuah.

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri Johor ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes permintaan dan penerimaan wang rasuah semalam.

Suspek seorang lelaki berumur 37 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di salah sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Lelaki itu disyaki meminta sejumlah wang rasuah daripada seorang Pengurus Projek sebuah syarikat kejuruteraan petroleum.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM 30,000.00 daripada pengurus projek berkenaan supaya tidak diambil tindakan memasang Mesin Angkat (Grip Hoist) tanpa mendapat kebenaran daripada pihak JKKP negeri.

Dalam satu serbuan yang dibuat di rumah suspek, pasukan penyiasat menjumpai wang tunai berjumlah RM18,505.00 yang disembunyikan di bilik dan bawah tangga.

Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette